Mak Jah gadai barang kemas untuk rawat kanser
Mak jah |
Pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah, 71, terpaksa menggadai barang kemas untuk membiayai rawatan apabila disahkan menghidap kanser rahim tahap satu, tiga tahun lalu.
Mak Jah berkata, ketika itu, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana memerlukan wang untuk menampung kos rawatan yang menelan puluhan ribu ringgit.
“Barang kemas boleh dicari, tetapi nyawa tiada galang ganti. Selagi boleh berusaha, saya tidak mengalah untuk bebaskan diri daripada penyakit itu.
“Sehingga hari ini, saya tidak mampu menebus barang kemas yang dibeli dengan hasil titik peluh bekerja sebagai anak seni.
“Tidak mengapa kerana saya baru bangkit dan mula bekerja selepas dua tahun kurang mendapat tawaran berlakon. Alhamdulillah, saya sudah sihat sepenuhnya dan boleh bekerja seperti dahulu," katanya.
Dramatis yang terkenal dengan watak antagonis itu berkata, ketika disahkan menghidap penyakit itu, dia berdepan kemurungan selama enam bulan.
Dia berkurung dan menjauhkan diri daripada rakan-rakan. Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga mengakui, dia bagaikan patah semangat dan hilang kekuatan untuk meneruskan hidup kerana membayangkan maut yang menanti.
Namun, selepas lebih tiga tahun menderita, pelakon filem Mami Jarum, Lady Boss dan Hingga Hujung Nyawa itu disahkan bebas kanser, April lalu.
“Ketika sakit, saya tolak tawaran berlakon kerana memikirkan tiada guna lagi saya terus mengejar duniawi. Doktor yang merawat marah kerana saya terlalu melayan emosi.
“Saya hanya kembali bangkit, tahun lalu selepas mendapat motivasi daripada seorang ustaz. Ketika itu, saya bersolat setiap waktu di masjid hingga ustaz pelik melihat saya menangis seorang diri setiap hari,” katanya.
Mula berlakon secara serius menerusi drama Sri Panggung terbitan Serangkai Filem pada 1987 , Mak Jah berkata, ustaz itu turut menasihatkannya bersabar dengan ujian Allah.
“Ustaz memaklumkan, saya beruntung dan terpilih kerana diuji dengan penyakit. Saya tahu akan mati, sudah tentu membuat persediaan untuk kembali ke pangkuan-Nya.
“Mendengar nasihatnya, saya bersemangat untuk bangkit semula. Saya menjalani kehidupan seperti biasa, tidak lagi menjauhkan diri daripada rakan, tanpa mensia-siakan ibadat saya,” katanya.
Mak Jah yang membintangi lebih 100 drama dan menjayakan berpuluh-puluh filem berkata, penyakitnya pulih berkat doanya ketika menunaikan umrah di Makkah pada 2017.
"Saya ke Tanah Suci untuk menjalani penggambaran drama Kisah Dari Makkah. Ketika itu, saya tidak kuat sangat, tetapi saya tidak putus asa berdoa di depan Kaabah, setiap hari,” katanya.
Pernah menggadaikan barang kemas untuk membiayai rawatan kanser rahim, kehidupan pelakon veteran, Mak Jah, 72, lebih baik sekarang.
Mak Jah atau nama sebenar, Maimunah Ahmad bersyukur kesihatannya bertambah baik dan penyakit ditanggung sejak lima tahun lalu, beransur pulih.
"Saya bergelut dengan kanser rahim pada tiga tahun pertama selepas penyakit ini dikesan pada 2016.
"Sampai gadai barang kemas sebab hendak meneruskan rawatan. Sejak tahun lalu, kesihatan saya bertambah baik.
"Ubat pun tidak diambil dalam kuantiti banyak seperti dahulu. Saya akan buat rawatan susulan selepas ini.
"Insya-Allah saya akan terus kuat dengan izin Tuhan," katanya ditemui pada program penyerahan bantuan inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Putrajaya, baru-baru ini.
Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu bersyukur Zeel Production terus menawarkannya peluang berlakon sehingga hari ini.
"Saya membintangi tiga drama di bawah kendalian penerbit Fadzil Teh... Beliau beri kepercayaan.
"Drama lakonan saya yang sudah disiarkan adalah Lelaki Lingkungan Cinta di TV3.
"Drama Juliet pula sedang menanti siaran. Buat masa ini, saya menyiapkan penggambaran drama Tak Sempurna Mencintaimu di Perlis dan ibu negara," katanya.
Mak Jah berkata, jika tiada tawaran berlakon, dia lebih banyak menghabiskan masa bersama cucu selain beramal ibadat dan berkongsi rezeki dengan orang lain.
"Sebelum COVID-19, saya melakukan kerja mencuci telekung secara sukarela di beberapa lokasi termasuk di kawasan Rehat & Rawat (R&R).
"Selain itu, saya sedekah kuih-muih kepada masjid dan pelajar tahfiz," katanya.
Mak Jah percaya amalan itu akan membuatkan rezeki lebih murah.
"Saya dapat bantuan Baitumal sebanyak RM350 sebulan. Pada usia sekarang, saya tidak makan banyak.
"Jadi, apa salahnya berkongsi rezeki yang ada. Kalau ada tawaran berlakon, lebih banyak yang saya dapat kongsi," katanya.
Mak Jah mula berlakon secara serius melalui drama Sri Panggung terbitan Serangkai Filem pada 1987.
"Sebenarnya, saya bermula dengan menjadi jurusolek, menjaga pakaian pelakon dan tugas mengawal konti ketika penggambaran," katanya.
Komentar
Posting Komentar