Danial suka nyanyi lagu perempuan

Ihsan Danial Chuer

Cenderung mendendangkan lagu penyanyi wanita dalam program realiti, Vokal Mania membuatkan bakat baharu, Danial Chuer, 19, mendapat perhatian ramai.

Keserasian lagu penyanyi wanita hingga ada yang menyangka vokalnya perempuan jika hanya mendengar audio, membezakan Danial dengan 'rookie' lain dalam program terbitan TV3 itu.

Namun, bagi Danial atau nama penuhnya, Danial Chuer Hamasiah @ Samsudin, muzik dan lagu tidak mempunyai gender.

"Saya anggap lagu tiada gender. Semuanya berbalik kepada penerimaan orang

"Memang tidak dinafikan sejak kecil, saya sudah dibiasakan dengan teknik nyanyian atau gaya penyampaian lagu wanita.

"Saya barangkali terbawa-bawa dengan cara itu. Cuma pada usia sekarang, saya tidak boleh terlalu selesa menyanyi cara wanita... Saya takut jadi kebiasaan pula," katanya kepada BH Online.

Namun, Danial terbuka dengan kritikan membina.

"Saya perlu bawa pembaharuan dalam nyanyian. Saya fikir tiada masalah mendendangkan lagu penyanyi wanita, namun, cara pembawaan mestilah seperti penyanyi lelaki.

"Saya masih muda dan perjalanan jauh lagi. Masih banyak ruang untuk diperbaiki dan dipelajari," katanya.

Selain itu, Danial sering disangka berbangsa Cina.

"Saya anak Melayu. Chuer itu ibarat nama kedua dalam keluarga. Adik-beradik saya semua menggunakan nama Chuer," katanya.

Danial yang ketika ini pulang ke kampung halaman di Sabah, sebaik Vokal Mania berakhir, menggunakan peluang yang ada untuk berehat.

"Sudah lima bulan sejak pandemik COVID-19 dan berentap dalam Vokal Mania, saya tidak pulang ke Sabah.

"Jadi, inilah masa saya pulang ke 'sarang'. Saya hanya berehat dan mahu menghabiskan pengajian jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) secara dalam talian yang berbaki setahun," katanya.

Mengenai perkembangan seni, Danial sepatut melancarkan single kedua ciptaan sendiri.

"Namun, projek itu tertangguh disebabkan penyertaan dalam Vokal Mania. Selepas ini saya akan berbincang semula dengan syarikat rakaman," katanya.

Danial sebelum ini pernah muncul dengan single Ingin ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh.

Sebelum menyertai Vokal Mania, Danial pernah bertanding dalam program Idola Kecil musim keenam, Idola Kecil Ultra dan I Can See Your Voice musim ketiga.

Vokal Mania yang berakhir baru-baru ini, menyaksikan penyanyi, Aina Abdul muncul juara idol manakala Aisha Retno pula diangkat sebagai juara rookie.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Baclink Negeri Indah Satu

Mak Jah gadai barang kemas untuk rawat kanser