Duit KWSP kerja kilang habis dikorek - Amelina
Amelina |
Penyanyi, Amelina merindui menyanyi dan menghiburkan peminat atas pentas.
Amelina berkata, dia percaya golongan anak seni turut merasakan perkara yang sama.
"Menghiburkan penonton sudah menjadi satu tanggungjawab. Jujurnya, saya sedih tak dapat berbuat demikian. Saya rindu nak dengar peminat sebut dan sorak nama apabila tampil atas pentas.
"Sebenarnya, di situlah kepuasan saya sebagai penyanyi apabila melihat peminat gembira. Ramai orang beranggapan penyanyi sentiasa gembira, tetapi mereka tak tahu apa yang terjadi di sebalik tirai pentas.
"Ketika bersedih pun terpaksa menghiburkan orang. Jadi, apabila kurang menghiburkan peminat, rasa rindu mula terbit di hati," katanya kepada.
Bagaimanapun, Amelina berkata, dia reda dan pasrah dengan situasi COVID-19. Kini, dia cuba mencari platform lain untuk menghiburkan peminat.
"Kita kena cerdik dalam keadaan ini, mencari platform berbeza dan pada masa yang sama, cari rezeki dengan inisiatif lain.
"Saya tidak menafikan 2020 memberikan impak besar kepada pejuang seni dan tidak kurang, masyarakat seluruh dunia. Bagi saya, 2020 sangat mencabar.
"Awalnya, saya sangat takut tetapi sekarang ini, saya sudah reda. Apapun berlaku, hidup perlu diteruskan. Bukan saya sahaja, tetapi seluruh dunia terkesan dengan pandemik ini.
"Kita janganlah kutuk dan caci maki kerana semua orang terkesan dengan pandemik ini," katanya.
Bagi Amelina, semua orang perlu saling membantu dan tidak menjatuhkan antara satu sama lain sempena menyambut tahun baharu dalam situasi pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
"Ada yang mengatakan golongan artis berpendapatan tinggi, tetapi kena ingat, kami kerja bukan makan gaji. Semua kegiatan seni terbatas, jadi pendapatan tidak semeriah dahulu.
"Saya termenung memikirkan soal ini sebab saya tak tahu berniaga. Nak cari kerja pun usia bukan muda lagi, tambah pula sekarang ramai kena buang pekerja. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun tiada, jadi mana nak korek duit? Kalau ada pun duit KWSP masa kerja kilang dahulu, tetapi berapa sen sangat.
"Lagipun, duit KWSP kerja kilang dahulu sudah habis dikorek. Sekarang, saya hanya bergantung kepada pendapatan menyanyi. Nasib baik, saya seorang yang berjimat cermat, bukan jenis lupa diri ketika berduit. Saya jenis menyimpan," katanya.
Bertanya mengenai pendapatannya, Amelina bersyukur, dia diberikan peluang berlakon ketika kegiatan nyanyian tidak dapat dijalankan.
"Saya menjayakan drama 28 episod berjudul Rahimah Tanpa Rahim untuk siaran TV3, baru-baru ini. Saya diberikan watak penting daripada drama terbitan penerbit, Jalena Rejab itu.
"Selain itu, ada juga orang bertanya mengenai undangan nyanyian untuk majlis tertutup di Johor Bahru dan Sabah. Malah, saya juga mendapat undangan menjayakan sambutan Tahun Baharu, baru-baru ini, tetapi disebabkan kes COVID-19 bertambah, ia terpaksa dibatalkan.
"Namun, saya reda dan pasrah. Dalam masa sama, saya berdoa agar keadaan ini segera pulih," katanya.
Terdahulu, Amelina turut menceburi bidang perniagaan makanan dengan menjual kek Banji Mat Roll selepas kerjaya nyanyiannya tidak boleh diteruskan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Komentar
Posting Komentar