Nyanyian Firdhaus dapat 170 juta tontonan di China
Firdhaus Farmizi |
Kebolehan dan bakat magis dimiliki penyanyi baharu, Firdhaus Farmizi yang kini 'trending' di negara Tembok Besar membuktikan anak seni boleh melakar kejayaan tanpa mengira bangsa dan agama.
Tentunya kejayaan dicipta anak kelahiran Kulai, Johor, itu membawa perubahan baharu dalam industri hiburan tanah air. Firdhaus menjadi anak Melayu pertama mencipta sejarah apabila single nyanyian dan ciptaannya berjudul Gulf of Alaska tular menerusi aplikasi TikTok China, Douyin, dengan meraih 170 juta tontonan.
Tidak hanya itu, salah satu lirik video dimuat naik dalam YouTube mencapai 1.5 juta tontonan. Selain itu, kebolehan Firdhaus fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin dengan baik menjadi kelebihan buatnya melakar nama di China.
Komposer, Ezra Kong, memuji kebolehan Firdhaus menyanyi dan menghasilkan lagu dalam bahasa Mandarin.
Ezra berkata, awalnya, dia hanya menyangka Firdhaus menyanyikan single berjudul Gulf Of Alaska, namun terkejut apabila pemuda berusia 22 tahun itu juga pencipta lagu berkenaan.
"Saya mendengar single Gulf of Alaska, semalam, menerusi telefon apabila berita mengenai Firdhaus tular. Secara peribadi, saya berasakan lagu itu sedap didengari, malah suaranya juga merdu.
"Lebih menarik, saya rasa sebutannya dalam lagu ini lebih baik daripada saya sendiri yang berbangsa Cina," kata pencipta lagu Jampi dan Hati nyanyian Hael Husaini itu.
Ezra berkata, kejayaan Firdhaus menempa nama di China membuktikan semua orang boleh berjaya, tanpa mengira bangsa dan agama.
"Ini membuktikan anak seni tempatan boleh berjaya, tak kira bangsa, agama dan pegangan. Kalau minat dan rajin berusaha, segala-galanya boleh dicapai. Itu lebih penting untuk berjaya.
"Firdhaus bukti anak jati Melayu yang boleh menakluk hati bangsa lain. Walaupun berbangsa Melayu, Firdhaus melakar nama di China. Jujurnya, saya bangga kerana tahu lagunya mendapat sambutan begitu baik.
"Apatah lagi, karya ini dihasilkannya sendiri. Secara peribadi, saya berasakan, Firdhaus hebat. Saya gembira untuknya dan mendoakan Firdhaus mampu melakar nama di China," katanya kepada BH Online.
Mengulas single Gulf Of Alaska, Ezra berkata, lagu itu ringkas, tetapi sedap didengar.
"Saya rasa tenang mendengar lagu ini, tetapi saya bukanlah seorang yang layak memberi komen lebih. Ini kerana, saya pun baru saja mendengarnya, tetapi saya percaya Firdhaus boleh pergi jauh," katanya.
Sementara itu, penyanyi, Winnie Kok turut berasa bangga dengan bakat dimiliki Firdhaus.
Winnie berkata, sebagai artis berbangsa Cina yang pernah mengeluarkan album bahasa Melayu, industri memerlukan lebih ramai anak muda berbakat seperti Firdhaus.
"Saya bangga dengan kebolehan Firdhaus yang boleh menguasai pelbagai bahasa, ditambah lagi kebolehannya menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin. Ini membuatkan saya mengagumi bakatnya.
"Saya gembira mendapat tahu berita kejayaannya di China. Ini sebenarnya satu 'trend' yang baik untuk diikuti generasi muda lain.
"Saya terpanggil belajar daripada Firdhaus dengan menyertai laman sosial seperti TikTok. Kita tahu zaman sekarang laman sosial sangat berpengaruh," katanya.
Ekoran itu, Winnie yang popular dengan lagu Kau Ada Di Mana itu mahu mencuba menyertai TikTok bagi meraih perhatian generasi muda.
Firdhaus menyifatkan ia adalah rezeki terpijak kerana namanya semakin popular di China selain peminat muzik tempatan pula kian menyedari kehadirannya.
"Saya sebenarnya sudah muat naik lagu Gulf of Alaska di Instagram (IG) sejak Mac tahun lalu. Tidak menjangka pula lagu ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat muzik di China.
"Sejak itu, lagu saya digunakan berulang kali di TikTok dan jujur memang tidak menjangka tiba-tiba menjadi tular. Peminat dari China kemudian mula mengikuti IG untuk melihat perkembangan kerjaya muzik saya. Begitu juga peminat tempatan," katanya.
Menurut remaja kelahiran Kulai, Johor itu, dia paling bersyukur apabila kesungguhannya mendalami sehingga fasih bahasa Mandarin sejak kecil akhirnya berbaloi.
"Kemampuan bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin semestinya menjadi kelebihan buat saya untuk melakar kejayaan di China," katanya.
Bercerita mengenai Gulf of Alaska, Firdhaus menyifatkan melodi lagu yang ringkas serta penyampaian bersahaja menjadi kelebihan untuknya mudah diterima pendengar.
"Lagu itu mengisahkan kisah cinta saya suatu ketika dulu. Ia ibarat sepucuk surat mengenai luahan hati saya kepada seorang wanita yang pernah saya sayangi. Sebenarnya, darip situlah inspirasinya.
"Saya percaya lagu ini diminati kerana ia mudah difahami, selain emosi saya sampai. Saya harap lebih ramai pendengar, tak kira bangsa boleh menghayati karya dan muzik saya," katanya.
Selain di TikTok, video lirik Gulf of Alaska yang dimuat naik di YouTube mencecah lebih 1.5 juta tontonan. Single itu dimuatkan dalam album EP, The Letter yang dilancarkan pada awal November lalu.
Komentar
Posting Komentar