Tak Mempan godaan gadis cantik
Syazuwan Hassan |
Digoda dengan gadis cantik dan seksi tidak sesekali membuatkan pelakon, Syazuwan Hassan, 30, terjerumus ke lembah hina dan maksiat.
Hakikatnya, dunia selebriti begitu mudah membawa seseorang selebriti berdepan dengan pelbagai godaan.
Syazuwan berkata, dia tidak mahu tewas dengan ujian godaan yang mampu memberi kesan negatif pada kerjaya dan kehidupan peribadinya.
Katanya, dia berpegang kuat pada prinsip untuk sentiasa menjaga nama baik dan keluarga supaya tidak terpengaruh dengan godaan yang melalaikan.
"Tidak menafikan, saya sering mendapat mesej nakal dalam sosial media. Saya memang tak layan langsung kerana kebanyakan mesej yang saya dapat, pelik.
"Contohnya, ada wanita yang mengajak saya berjumpa. Saya bertanya berjumpa atas dasar kerja atau apa. Dia kata tidak, sebaliknya ada permintaan mahu mengajak melakukan perkara tidak senonoh.
"Saya tak kisah jika daripada akaun palsu. Ini kerana ramai yang wujudkan akaun palsu untuk mengacau, tetapi saya dapat mesej daripada pemilik akaun sebenar. Kemudiannya, saya membalas dengan teguran, kerana tidak mahu ia berlanjutan," katanya kepada BH Online.
Pelakon drama Dia Menantu Rahsia dan Asalkan Dia Bahagia itu berkata, dia perlu bijak menepis godaan supaya namanya tidak terpalit dengan perkara tidak bermoral.
"Nama saya sudah dikenali ramai, jadi sebelum buat apa-apa, lebih baik saya berfikir dahulu. Jika boleh, saya mahu mengelakkan perkara yang tak diingini pada masa akan datang.
"Jujurnya, saya seorang yang berfikir panjang sebab saya tak mahu buat perkara yang memalukan saya dan keluarga. Saya sentiasa beringat menjaga keperibadian. Alhamdulillah hingga hari ini, saya tak tewas dan masih ada iman lagi," katanya.
Bagi Syazuwan, perkara sebegitu terpulang pada pegangan individu, sekiranya seseorang pandai menepis dan menjaga kehormatan diri pasti dapat mengawal keadaan dengan baik.
Syazuwan tidak menafikan, ada yang menggunakan populariti ke arah itu, tetapi tidak dirinya.
Dalam pada itu, pelakon drama Bidadari Salju itu berkata, dia pernah menerima cadangan beberapa pihak untuk mencipta kontroversi supaya namanya lebih dikenali.
Bagaimanapun, Syazuwan berkata, dia enggan dikenali kerana kontroversi, sebaliknya menerusi hasil kerjanya, meskipun secara perlahan-lahan.
"Ada rakan dalam industri yang menyarankan mencipta kontroversi untuk menaikkan nama.
"Saya tak gemar nama saya popular disebabkan kontroversi. Saya mahu orang kenal menerusi hasil kerja. Jadi, untuk saya sengaja cipta kontroversi menaikkan nam, itu bukan saya.
"Sebab kita tahu ada kontroversi yang boleh menaikkan dan ada juga boleh menjatuhkan nama. Biarlah, saya membina nama saya dengan lakonan, meskipun ia memakan masa," katanya yang kini sedang menjalani drama Baby Tak Gila.
Syazuwan berkata, dia bersyukur meskipun tiada kontroversi yang menghangatkan namanya, tawaran lakonan yang diterima tetap ada. Malah, rezekinya tidak pernah putus selepas Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), sekitar empat tahun lalu.
"Alhamdulillah, jadual lakonan saya padat hingga Mac tahun depan. Nak kata saya baik dengan penerbit tidak juga, sebab ada saya juga bekerjasama dengan penerbit yang tidak dikenali.
"Mungkin, ia adalah hasil kerja saya yang mereka nampak dan tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana produksi dan sentiasa menjaga disiplin," katanya.
Komentar
Posting Komentar